Saturday, April 11, 2009

Ringkasan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Bahagian 3)

Sifat al-'Uluw (Ketinggian / Atas)

Beriman bahawa Allah s.w.t meninggi ke atas sekelian makhluk dengan Zat dan Sifat-Nya, kerana Dia berfirman: "Dialah Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung" (al-Baqarah: 255)
[1] "Dan Dialah yang Maha berkuasa berada di atas hamba-hamba-Nya". (al-An'aam: 18)[2]

Beriman bahawa Allah s.w.t "mencipta langit dan bumi dalam masa enam hari, kemudian naik duduk di atas arasy mentadbir setiap perkara" (Yunus: 3)
[3]

Beriman bahawa Allah s.w.t beristiwa' (naik duduk) di atas arasy dengan kaifiyyah atau cara yang layak dengan keagungan dan kebesaran-Nya. Sesiapa pun tidak mengetahui cara duduknya Allah melainkan Allah sendiri.

Kata Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya berhubung ayat 3 Surah Yunus: "Tiada seorang pun Ulama Salaf yang mengingkari bahawa Allah s.w.t naik duduk di atas arasy-Nya secara hakikat, bukan majaz".

Kata Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya berhubung ayat 54 Surah al-A'raaf: "Dalam masalah ini kami berpegang dengan pegangan Ulama Salaf seperti Malik, al-Auzaa'ie, al-Thauri, al-Laith bin Sa'ad, al-Syaafie, Ahmad, Ishaq bin Raahawaih, dan Imam-imam lain baik dulu atau sekarang bahawa kekalkannya sepermana ia datang tanpa mempersoalkan kaifiyyah (rupa bentuk atau cara), dan tanpa menyamakannya dengan makhluk, dan apa yang terlintas di fikiran orang yang ingin menyamakan Allah dengan makluk adalah dinafikan, dan "Tiada sesuatupun yang menyamai Allah, dan Allah maha Mendengar lagi maha Melihat". (Syuraa: 11)

Jika ditanya; adakah Allah naik duduk di atas arasy-Nya? Jawapannya ialah "Benar, Allah naik duduk di atas arasy-Nya dengan cara yang layak bagi keagungan dan kebesaran Allah s.w.t, Allah naik duduk di atas arasy-Nya secara hakikat, bukan majaz. Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu cara dan bagaimana Ia naik duduk, sesiapapun tidak mengetahui gaya dan rupa bentuknya. Naik duduknya Allah s.w.t tidak sama seperti naik duduknya makhluk, kerana "Tiada sesuatupun yang menyamai Allah, dan Allah maha Mendengar lagi maha Melihat". (Syuraa: 11).
Jika ditanya: "Jika Allah naik duduk di atas arasy bererti Allah berada di atas, adakah ia benar?" Jawapannya: "Ya, benar. Allah berada di atas".

Soalan: "Jika Allah berada di atas bererti Allah berarah (berjihah), sedang 'sifat berarah' adalah sifat makhluk, maka dengan kenyataan itu tidakkah Allah menyerupai makhluk?"

Jawapan Pertama; ulama salaf tidak pernah membahaskan sebegitu rupa, Imam Qurtubi ketika menafsirkan ayat 3 surah Yunus berkata: "Ulama Salaf tidak pernah berbicara soal penafian jihah (arah), mereka sesekali tidak pernah menyentuh perkara itu".

Jawapan ke dua; kita beriman dan percaya bahawa Allah s.w.t naik duduk di atas arasy-Nya dengan cara yang layak bagi kebesaran dan keagungan Allah s.w.t, tetapi bagaimana caranya kita tidak tahu, jangan cuba untuk memikir atau membayangkan cara Allah naik duduk. Yakin dan beriman yang Allah naik duduk di atas arasy, yakin yang kita tidak mungkin mengetahui cara Allah naik duduk di atas arasy-Nya, dan yakin bahawa cara atau rupa bentuk Allah s.w.t naik duduk di atas asrasy-Nya sesekali tidak menyamai makluk.

Orang yang degil akan terus bertanya, "bagaimana Allah naik duduk di atas arasy-Nya? Aku tidak boleh menerima yang Allah s.w.t naik duduk di atas arasy tetapi caranya tidak tahu? Aku tidak mampu menyekat fikiranku dari membayangkan situasi Allah naik duduk di atas arasy-Nya'.

Jawapan: "Di akhirat kelak akan disediakan arak untuk diminum berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا ، ثُمَّ لَمْ يَتُبْ مِنْهَا حُرِمَهَا فِي الْآخِرَةِ " [ أخرجه البخاري ومسلم ]
"Siapa yang meminum arak di dunia, kemudian tidak bertaubat, maka ia tidak akan dapat meminumnya di akhirat kelak" (al-Bukhari & Muslim)

Persoalannya ialah adakah arak di akhirat seperti arak di dunia? Firman Allah di dalam sebuah hadis qudsi:

أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ ، وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ ، وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ متفق عليه
"Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak ada mata yang pernah melihat, tidak ada telinga yang pernah mendengar, dan tidak pernah terlintas di fikiran manusia" (al-Bukhari & Muslim).

Inilah kekuncinya. Kita beriman yang kelak terdapat arak di dalam syurga, tetapi bolehkah kita membayangkan arak di dalam syurga? Tidak, kerana Allah sudah memberitahu kenyataannya menerusi hadis tadi. Maka begitulah sifat istiwa' Allah s.w.t, beriman yang Allah s.w.t beristiwa' secara hakikat, bukan majaz, bukan bermaksud istila', dan kemudian tutup serapat-rapatnya pintu fikiran daripada membayangkan bagaimana Allah beristiwa, sepertimana yang dilakukan oleh ulama Salaf, termasuk keempat-empat imam mazhab, iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie, dan Ahmad bin Hanbal.
Baca ayat 3 surah Yunus; "Kemudian Allah beristiwa' di atas arasy" kemudian baca ayat 11 surah Syuraa; "Tiada sesuatupun yang menyamai Allah", dan ayat 74 surah al-Nahl; "Maka janganlah menyemakan Allah dengan sesuatu".

Diulangi, kita wajib beriman bahawa Allah s.w.t bersifat 'Uluw (meninggi di atas) secara hakikat, bukan majaz. Kita menafikan sebarang bentuk penyamaan Allah dengan makhluknya. Mengabaikan apa sahaja yang terbayang di dalam fikiran berhubung naik duduknya Allah s.w.t di atas arasy. Kita tidak mentakwilkannya dengan berkata istiwa' (naik duduk) bererti istila' (menguasai).

Kita berpegang sepertimana pegangan Imam Malik bila ditanya tentang Istiwa', kata beliau:

"الإِسْتِوَاْءُ مَعْلُوْم وَالكَيْف مَجْهُوْل وَالسُّؤَاْل عَنْهُ بِدْعَة والإيْمَاْنُ بِهِ وَاْجِبٌ" والإستواء في اللغة العربية معناه العلو والارتفاع والاستقرار.


[1]وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ
[2] وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ
[3] خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ ۖ

No comments:

Post a Comment