Thursday, April 9, 2009

Pesanan Khairilbasyar kepada Ibn 'Umar...


Daripada Ibn 'Umar r.a, kata beliau: "Rasulullah s.a.w memegang bahuku dan berkata:
"Hiduplah di dunia seolah-olah kamu orang asing atau pengembara jalanan".
Ibnu 'Umar sendiri pernah berkata: "Jika kamu berada di sebelah petang jangan nantikan pagi dan jika kamu di sebelah pagi pula jangan nantikan petang. Ambillah peluang masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati". (al-Bukhari)

Ibnu 'Umar ketika itu seorang pemuda yang hanya berusia belasan tahun. Beruntungnya Ibn 'Umar, di usia begitu beliau sudah mendapat sentuhan tarbiah yang bermakna dari baginda Rasulullah s.a.w.

"Hiduplah di dunia seolah-olah kamu orang asing atau pengembara jalanan". Ia merupakan mutiara pesanan yang sangat bermakna. Pesanan yang ingin membawa manusia ke kehidupan yang sangat indah dan tenang.

Kehidupan sebagai seorang warga asing… baru seminggu menjejakkan kaki di bumi orang. Jika dulu terkenal dengan sikap bengis, cepat marah, dan tidak endahkan sesiapa, suka menjaga tepi kain orang, mengumpat dan memperlekehkan orang lain, adakah sekarang masih boleh melakukan hal yang sama? Adakah identiti ini akan terus kekal walaupun sesudah melangkah ke bumi orang?

Seorang pengembara pula akan mengatur langkahnya dengan penuh kesederhanaan, rendah diri, dan berjaga-jaga. Berjalan sambil membayangkan arah tuju yang sudah dirangka kemas di dalam fikiran. Berjalan sebagai seorang yang sarat dengan matlamat, destinasi yang jelas, dan perancangan yang teratur. Seorang pengembara suka menjadikan apa yang dilihatnya sebagai satu pengajaran dan apa yang ditimbanya sepanjang perjalanan sebagai panduan dan pengalaman yang dapat dikongsi bersama.


"Hiduplah di dunia seolah-olah kamu orang asing atau pengembara jalanan".
Wasiat ini ditujukan kepada anak muda yang baru berusia belasan tahun supaya ia dapat menjadikannya sebagai pedoman untuk menjalani kehidupan di dunia. Allah s.w.t telah memberi gambaran menyeluruh tentang kehidupan manusia menerusi Surah al-Hadid, ayat 20:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرّاً ثُمَّ يَكُونُ حُطَاماً وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan, bermegah-megah antara satu sama lain, saling berbangga dengan harta dan anak yang banyak… Perumpamaannya seperti hujan yang membuatkan para pertani gembira melihat tanaman yang kembali subur.. kemudian tanaman itu bertukar menjadi kering, warnanya kekuningan, kemudian mula reput hancur. Di akhirat kelak terdapat azab seksaan yang dahsyat dan juga keampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Kehidupan dunia sebenarnya hanyalah keseronokan palsu. (al-Hadid:20)

Rasulullah s.a.w pula menyifatkan kehidupan dunia seperti seorang pengembara yang berhenti berteduh di bawah sepohon pokok dan kemudian meninggalkannya. (Imam Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah)

Wahai pengembara jalanan!!! Bergegaslah untuk mendapat pengampunan dari Allah dan syurga yang luasnya luas langit dan bumi.

سَابِقُوا إلى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Berlumba-lumbalah untuk mendapat keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. (al-Hadid: 21)

No comments:

Post a Comment