Wednesday, April 15, 2009

Ringkasan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Bahagian 5)

Sifat al-Iraadah

Beriman bahawa Allah s.w.t "Maha melakukan apa yang dikehendaki" (al-Buruuj: 16)
[1] Bererti apa sahaja yang dikehendaki-Nya pasti akan dilakukan tanpa sebarang halangan.

Beriman bahawa sifat Iraadah terbahagi kepada dua jenis; pertama Iraadah Kauniyyah dan yang kedua Iraadah Syar'iyyah.

Iraadah Kauniyyah ialah apa yang dikehendaki mesti terjadi, dan dalam masa yang sama tidak semestinya apa yang dikehendaki itu disukai-Nya.

Contohnya perihal bunuh membunuh sesama manusia, Allah s.w.t tidak menyukainya, tetapi sudah menjadi kehendak Allah s.w.t untuk berlakunya gejala bunuh-membunuh di atas muka bumi atas hikmah tertentu. Boleh jadi kita tahu dan boleh jadi kita tidak tahu. Apa yang pasti kita beriman yang Allah Ahkamul Hakimeen (penentu paling adil).

Contoh seterusnya; Allah s.w.t tidak suka membinasakan sesiapapun, tetapi sudah menjadi kehendak Allah s.w.t untuk wujudnya kebinasaan atas hikmah tertentu. Boleh jadi kita tahu dan boleh jadi kita tidak tahu. Apa yang pasti kita beriman yang Allah Ahkamul Hakimeen (penentu paling adil).

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ
"Kalau Allah mahu, sudah tentu mereka tidak akan bunuh-membunuh, akan tetapi Allah akan lakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya" (al-Baqarah: 253)

إِنْ كَانَ اللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يُغْوِيَكُمْ ۚ
"…. Jika Allah hendak membinasakan kamu…" (Hud:34)

Sementara Iraadah Syar'iyyah pula ialah apa yang dikehendaki tidak semestinya terjadi, dan dalam masa yang sama setiap yang dikehendaki itu adalah disukai-Nya.

Contohnya Allah s.w.t ingin mengampuni hamba-hamba-Nya, tetapi hal itu tidak semestinya berlaku atas hikmah tertentu. Boleh jadi kita tahu dan boleh jadi kita tidak tahu. Apa yang pasti kita beriman yang Allah Ahkamul Hakimeen (penentu paling adil).

وَاللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يَتُوبَ عَلَيْكُمْ
"… dan Allah hendak mengampuni kalian…" (al-Nisa': 27)

Contohnya lagi Allah s.w.t inginkah hamba-hamba-Nya beriman, tetapi tidak semestinya kehendak Allah s.w.t itu akan berlaku atas hikmah tertentu. Apa yang pasti ialah Allah s.w.t sukakan hamba-hambanya beriman. Boleh jadi kita tahu dan boleh jadi kita tidak tahu. Apa yang pasti kita beriman yang Allah Ahkamul Hakimeen (penentu paling adil).

Jadi kesimpulannya ialah kehendak Allah s.w.t terbahagi kepada dua jenis. Pertama kehendak Allah yang tertakluk pada hukum alam dan yang kedua kehendak Allah s.w.t yang tertakluk pada syariat dan agama.

Iradah Kauniyyah atau kehendak Allah yang tertakluk pada hukum alam pasti akan berlaku walaupun Dia s.w.t tidak menyukainya; seperti kekufuran orang-orang kafir.

Sementara Iraadah Syar'iyyah atau kehendak Allah yang tertakluk pada syariat dan agama pula semuanya disukai dan tidak semestinya berlaku; seperti keimanan orang-orang mukmin.

Jadi orang yang beriman itu pertamanya terjadi atas dasar Iraadah Kauniyyah, kemudian bertepatan pula dengan Iraadah Syar'iyyah.

Sementara orang kafir pula terjadi atas dasar Iraadah Kauniyyah, bukan Iraadah Syar'iyyah, kerana Allah s.w.t tidak sukakan kekufuran.

Apa yang pastinya ialah tidak ada sesuatupun yang terkeluar daripada Iradah Allah s.w.t, bezanya ialah samada ia berlaku atas Iraadah kauniyyah atau Iraadah Syar'iyyah.

Persoalan: Adakah terdapat orang yang mahukan sesuatu tetapi tidak menyukainya?

Jawapan: Tidak ada orang yang mahukan sesuatu tetapi tidak menyukainya kecuali dalam keadaan terpaksa. Contohnya dia dipaksa minum air najis, jika enggan ibunya akan dibunuh. Dia ditanya: "kamu mahu minum atau tidak?" Jawabnya: "Saya mahu…". Dia mahu minum, tetapi adakah dia suka?

Persoalan: Jika begitu halnya, adakah ada sesuatu yang memaksa Allah untuk melakukan sesuatu sedang Dia tidak menyukainya?

Jawapan: Tidak, sesekali tidak mungkin ada sesuatu yang memaksa Allah s.w.t. Tetapi Allah melakukan sesuatu yang tidak disukai-Nya kerana maslahah, tujuan atau hikmah yang lebih besar, yang mengatasi kebencian-Nya terhadap sesuatu yang dibenci-Nya itu. Boleh jadi kita tahu dan boleh jadi kita tidak tahu. Apa yang pasti kita beriman yang Allah Ahkamul Hakimeen (penentu paling adil).

Betulkah iman dan kufur ditentukan Allah s.w.t? Ya!! Firman Allah s.w.t:

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا
"Maka sesiapa yang Allah mahu memberi petunjuk kepadanya maka Allah akan lapangkan dadanya ke arah Islam, dan siapa yang Allah ingin sesatkannya maka Allah akan jadikan dadanya sempit sesak…" (al-An'aam: 125)

Beriman bahawa tiada apapun yang berlaku melainkan atas kehendak Allah s.w.t, samada baik atau buruk, keimanan atau kekufuran, dan ketaatan atau kemaksiatan, semuanya berlaku atas kehendak Allah s.w.t. Kehendak yang dimaksudkan ialah samada kehendak Kauniyyah atau kehendak Syar'iyyah.

Beriman bahawa kehendak Allah s.w.t, samada Kauniyyah atau Syar'iyyah adalah berasaskan dan bertepatan dengan hikmah yang agung.

Beriman bahawa Allah s.w.t adalah penentu yang paling adil

أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ
"Bukankah Allah penentu yang paling adil" (al-Teen:8)

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
"Bagi orang-orang yang yakin, siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam soal penentuan?" (al-Maaidah:50)

Beriman bahwa Allah s.w.t akan melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, tiada sesuatupun yang terkecuali daripada kehendak Allah s.w.t, dan beriman semua itu terjadi bertepatan dengan hikmah Tuhan yang Maha Bijaksana.

لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
"Allah s.w.t tidak ditanya apa yang dilakukan, sebaliknya mereka yang akan ditanya". (al-Anbiyaa': 23)




[1] فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ

No comments:

Post a Comment