Monday, April 13, 2009

Ringkasan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Bahagian 4)


Sifat al-Nuzul (Turun)

Beriman bahawa Allah s.w.t akan turun setiap malam ke langit dunia pada satu pertiga malam yang terakhir dan berkata: "Siapa yang berdoa kepada-Ku aku akan mustajabkannya, siapa yang meminta dari-Ku aku akan berikan kepadanya, siapa yang memohon ampun kepada-Ku aku akan ampunkannya".

Beriman bahawa Allah s.w.t turun dengan cara yang layak bagi keagungan dan kebesaran-Nya, secara hakikat, bukan majaz.

Beriman bahawa Allah s.w.t turun secara hakikat, tetapi cara dan rupa bentuk turunnya Allah tidak pula kita ketahui, dan kita tidak sesekali akan bertanya cara dan rupa turunnya Allah s.w.t.

Beriman bahawa Allah s.w.t turun dengan cara hakikat dan dalam masa yang sama beriman yang tiada sesuatupun menyerupai Allah s.w.t, baik dari segi zat, sifat atau perbuatan.

Beriman bahawa Allah s.w.t turun secara hakikat, bukan majaz, dan menolok fahaman yang mentakwilkan turunnya Alllah sebagai turunnya rahmat Allah s.w.t. Bagi mereka, jika Allah turun secara hakikat, bermakna Allah bergerak. Jika Allah bergerak bermakna Allah berjisim. Jika Allah berjisim bererti Allah menyerupai makhluk. Percayalah perbahasan sebegini tidak pernah dikenali oleh para ulama Salaf sebagaimana yang diceritakan oleh Imam al-Qurthubi ketika mentafsirkan ayat 3 surah Yunus.

Perkara sebegini mula dipersoalkan oleh Muktazilah, dan kemudian ditangkis oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari, dan para ulama yang sealiran denganya seperti Imam al-Juwaini, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam Ghazali dan lain-lain. Mereka dengan niat yang sangat murni, iaitu menyucikan Allah dari segala bentuk penyerupaan makhluk telah mengambil pendekatan mentakwil ayat-ayat tersebut. Mentakwil Istiwa' kepada istila', turunnya Allah kepada turunnya rahmat Allah, tangan kepada kekuasaan dan sebagainya.

Namun begitu perlu diingat yang semua Imam-imam tersebut sehinggakan pengasas mazhab ta'wil sendiri telahpun menarik balik pendapat mereka itu secara bertulis. Menarik balik dan beriman yang jalan yang benar atau pegangan yang benar ialah pegangan ulama-ulama Salaf. Untuk lebih jelas, sila rujuk Fusul fi al-'Itiqad baina al-Salaf wa-alkhalaf Dr. Yusuf al-Qardhawi dan buku-buku lain.

Contohnya Imam Abu al-Hasan al-Asyri telah menarik balik pendapatnya berhubung sifat-sifat khabariyyah. Menarik balik dan berpegang dengan pegangan ulama Salaf. Kenyataan itu direkod sendiri olehnya menerusi kitab al-Ibanah fi Usul al-Diyaanah, Risalah Ila Ahli al-Thagr, dan Maqaalaat al-Islamiyyin. Begitu juga dengan Imam Fakhruddin al-Razi menerusi kitab Asas al-Taqdis, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Iljam al-'Awaam 'an 'ilmi al-Kalam, dan lain-lain.

Berkenan catatan Ibn al-Battuthah yang mengatakan bahawa Ibn Taimiyyah pernah mengeluarkan kenyataan di dalam masjid al-Jami' bahawa: "Allah s.w.t turun seperti turunnya aku dari mimbar ini".

Hal ini tidak benar sama sekali kerana Ibn Battuthah tiba di Damsyiq pada hari Khamis, 9 Ramadhan 726H sedangkan ketika itu Ibn Taimiyyah berada di dalam penjara Qal'ah. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dipenjarakan bermula pada awal Syabaan 726H sehinggalah beliau meninggal dunia di dalam penjara. Persoalannya bagaiman Ibn Taimiyah boleh berkhutbah di masjid al-Jami' sedangkan beliau ketika itu di dalam penjara? Untuk mendapat keterangan lanjut sila rujuk kitab-kitab yang membahaskan tentang pemikiran Ibn Taimiyyah, contohnya kitab Ibn Taimiyyah oleh Dr. Abu Zahrah, rijal al-Fikri wa al-Da'wah oleh Abu al-Hasan al-Nadawi, dan lain-lain.

Orang yang melontarkan tohmahan bahawa Ibn Taimiyyah adalah golongan Mujassimah, percayalah orang sebegini samada dia tidak mengenali Ibn Taimiyyah ataupun dia tidak mengenali al-Mujassimah.


No comments:

Post a Comment