Friday, May 1, 2009

Ringkasan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Bahagian 8)

Beriman bahawa Allah s.w.t memiliki tangan yang mulia lagi agung. Kita memahami 'Yad' adalah perkataan Arab bererti 'tangan', tetapi tidak pula kita ketahui bagaimana rupa bentuk tangan Allah, kita sesekali tidak akan bertanya tentang rupa bentuk tangan Allah kerena mempersoalkan tentangnya adalah bid'ah.

بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَاء
"…tetapi kedua-dua tangan-Nya terbuka; dia menafkahkan sebagaimana dia kehendaki…" (al-Maaidah: 64)

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّماوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

"Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya; padahal bumi seluruhnya adalah genggaman-Nya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi dia dari apa yang mereka persekutukan". (al-Zumar: 67)

Beriman bahawa Allah s.w.t benar-benar memiliki dua mata yang layak dengan keagungan dan kebesaran-Nya.

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
"… Dan binalah bahtera itu dengan mata kami dan wahyu kami…". (Huud: 37)

حِجَابُهُ النُّورُ ، لَوْ كَشَفَهُ لَأَحْرَقَتْ سُبُحَاتُ وَجْهِهِ مَا انْتَهَى إِلَيْهِ بَصَرُهُ مِنْ خَلْقِهِ

"Hijabnya adalah cahaya; kalau Allah membukanya nescaya kebesaran wajah-Nya akan membakar apa sahaja makhluk yang dilihat-Nya". (Hadis riwayat Muslim)

Beriman bahawa Allah s.w.t bermata dua, bukan satu atau banyak seperti yang dikatakan oleh Ibn Hazmi di dalam kitab al-Muhalla. Dalilnya ialah hadis yang menceritakan tentang Dajjal. Kata Nabi s.a.w. Dajjal bermata sepet (A'war), sedang Allah tidak sepet (A'war). Maksudnya ialah Allah bermata dua secara hakikat, bukan majaz.

Begitulah pegangan Ulama Salaf sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan dimuatkan di dalam kitab beliau berjudul "Maqaalaat al-Islamiyyiin". Kemudian Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah menukilnya ke dalam al-Fatwa al-Hamawiyyah; Majmu' al-Fatawi Ibn Qasim. (5/80).

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari banyak menyatakan yang Allah s.w.t memiliki dua mata secara hakikat, bukan majaz di dalam kitab-kitabnya selepas beliau menarik balik pendapat beliau yang berasaskan aliran 'takwil'. Antara kitab-kitab tersebut ialah "Ikhtilaaf Ahl al-Qiblah Fi al-'Arsy", dan "al-Ibaanah Fi Usuul al-Diyaanah".

Beriman bahawa kita tidak dapat melihat Allah s.w.t di dunia.

لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ

"Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang dia dapat melihat segala yang kelihatan; dan dialah yang Maha halus lagi Maha Mengetahui" (al-An'aam: 103)

Beriman bahawa kita akan melihat Allah s.w.t pada hari kiamat kelak.

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ ، إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

"Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri, Kepada Tuhannyalah mereka Melihat" (al-Qiyaaman: 22-23)

Beriman bahawa tiada sesuatupun yang menyerupai Allah s.w.t kerana kesempurnaan sifat-Nya.

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
"….tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan Melihat". (al-Syuura: 11)

Beriman bahawa Allah s.w.t tidak akan mengantuk dan tidak akan tidur kerana kesempurnaan hidup dan kedirian-Nya.

Beriman bahawa Allah s.w.t tidak akan menzalimi sesiapapun kerana kesempurnaan sifat adil-Nya.

Beriman bahawa Allah s.w.t tidak sesekali terleka dari perbuatan hamba-Nya kerana kesempurnaan pengawasan dan liputan-Nya.

Beriman bahawa Allah s.w.t tidak sesekali dilemahkan oleh sesuatupun baik di langit atau di bumi kerana kesempurnaan ilmu dan kekuasan-Nya.

Beriman bahawa Allah s.w.t tidak sesekali akan berasa penat atau letih kerana kesempurnaan kekuatan-Nya.

Beriman dengan semua Nama-nama dan Sifat-sifat Allah s.w.t yang disebut di dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan mengisbatkannya sepertimana yang disebut, dengan tidak mentakwilkannya, tidak menanyakan bagaimana rupa atau bentuknya, tidak menyamakannya dengan makhluk, dan tidak pula akan berkata: "Kami tidak tahu makna tangan, makna turun, makna duduk di atas arasy dan makna wajah, kami serahkan semua itu kepada Allah". Tidak, kita sesekali tidak akan berkata begitu, kita akan berkata: "Kami tahu makna tangan, makna duduk di atas arasy dan makna wajah, tetapi rupa bentuknya (kaifiyyah) kami tidak tahu, Wallahu A'lam".

Beriman dengan semua itu sepertimana ia datang di dalam al-Quran dan Sunnah. Lidah kita tidak akan mengatakan bahawa ada makhluk yang menyamai Allah s.w.t dari segi zat ataupun sifat, dan hati kita juga tidak akan terdetik mengatakan yang ada sesuatu yang menyerupai Allah s.w.t. Kita juga tidak akan sesekali membayangkan gambaran rupa zat dan sifat Allah, tidak akan sesekali berbuat demikian samada menutur dengan lidah atau membayangkan di dalam hati.

Beriman dengan apa sahaja yang dinafikan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran dan Sunnah, dan penafian itu mebawa maksud kesempurnaan sebaliknya, dan tidak akan membicarakan sesuatu yang tidak dibicarakan oleh Allah dan Rasul-Nya berhubung perkara ini.

P/s: Sahabat-sahabat yang membaca, saya bertanggungjawab di atas setiap perkataan yang saya tulis berhubung Siri Ringkasan Akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Saya harap jika ada sepatah perkataan yang tidak difahami, kurang jelas atau tidak bersetuju dengannya, hantarlah komen agar saya boleh melihat semula dan menjelaskannya. Setiap perkataan yang saya tulis, jika sahabat-sahabat inginkan sandarannya baik dari al-Quran, atau hadis, ataupun pendapat ulama al-Salaf al-Soleh, sila nyatakan hasrat itu, saya bersedia – waLillahilHamd- untuk kemukakannya. Sekali lagi saya ulang, saya bertanggung jawab di depan Allah dan Rasul-Nya atas setiap perkataan yang saya tulis. Ikuti siri-siri seterusnya.










2 comments:

  1. السلام عليكم

    شفت تعليقك عندي في المدونة اللي شرفني الحقيقة ولقيته بالعربي فهذا اعطاني الشجاعه اكتبلك بالعربي :)

    انا لا ادري هل انت بنت او ولد عشان اقدر اخاطبك بس حخاطبك بالتذكير فالمعذرة لو كان العكس :)

    الحقيقة اتفأجات من وجود علم ماليزيا وعند دخولي لمدونتك اتضح لي انك ماليزي والحقيقه انا من عاشق ماليزيا فلقد زرتها عام 2000 ..رحت كوالا لامبور.. بينانج ..جنتنج..لانكاوي ..وكانت من اروع واجمل سفرياتي وبإذن الله هتتكرر الزيارة :)

    سعيده جداا بتشريفك مدونتي وسعيده اكثر بزيارتي لمدونتك :)

    ReplyDelete
  2. وعليكم السلام ورحمة الله... تشرفت بزيارتك لمدونتي، وكنت سعيد جدا عندما قرأت تعليقك في جمال ماليزيا وروعتها..

    نعم أنا أشرف من ماليزيا، مقيم في قدح على بعد مائة وخمسية كيلومتر من بنينج اللي زرتها، نعم اللي فيها جزيرة لنكاوي.. ايش رايك في الجزيرة؟ وشرفنا بثاني زيارة..

    أنا سعيد جدا .. وتشريفك لمدونتي هذه اعتبرتها شرفا لي وشكرا

    ReplyDelete